Tak Nak Klik Di Bawah Ni Ke?

Jumaat, 22 April 2011

KETAHUI KAEDAH DAN HARI-HARI SUNAT MEMOTONG KUKU

memotong kuku amalan kebersihan
 

 Perlu diketahui bahawa memotong kuku adalah suatu amalan sunat selain daripda memotong  misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, dan lain-lain. 

Berkata Abu Hurairah R.A bermaksud: Nabi Muhammad S.A.W. memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk bersembahyang. (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani). Rasulullah S.A.W bersabda yang ertinya:-
Barang siapa yang mengerat kukunya pada ;
Hari Sabtu:Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit.

Hari Ahad :Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan.

Hari Isnin :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat

Hari Selasa:Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit

Hari Rabu :Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.

Hari Khamis :Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.

Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.
cara-cara memotong kuku mengikut sunnah
Di atas merupakan hari-hari sunat dan harian yang dikatakan tidak elok untuk memotong kuku. Di sebelah  pula adalah cara-cara memotong kuku mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Selamat mencuba dan moga hidup selalu dirahmati-Nya. InsyAllah.

Selasa, 19 April 2011

CINTA REMAJA KINI

Assalamualaikum wbt, saya tertarik hati untuk menulis mengenai tajuk ini kerana saya juga seorang remaja. 'Cinta Remaja', pasti semua remaja mengimpikan dan menginginkan atau sebaliknya sebelum berumah tangga, tetapi sejauh manakah mereka ini bijak dalam mempertahankan kesucian cinta supaya perkara yang dilarang oleh Allah tidak berlaku? Apabila remaja bercinta, segala kata-kata dan janji-janji manis keluar dan tertabur seperti peluru ke mana arah dituju ke situlah akan ditembusi. 'lautan api sanggupku renangi', 'I janji, I akan memperisterikan U, dan hanya perasaan sayang kepada U seorang dalam hidup I'. Itulah antara kata-kata dalam percintaan remaja kini. Huh! memang romantis sewaktu bercinta, hingga ada yang sanggup mengadaikan kesucian diri, yang akhirnya, janin atau bayi yang tidak berdosa dijadikan korban yang dibuang merata-rata, sudahlah melakukan zina itu satu dosa, ditambahkan lagi dosa dengan pembuangan bayi. Namun, bukan itu saja, bahkan ada yang sanggup buang keluarga kerana cintakan orang yang baru dikenali. Itulah dinamakan kuasa cinta. Bagi mengelak perkara-perkara yang dilarang ini berlaku dalam percintaan adalah diingatkan bahawa kita dilarang bersentuhan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Dari Maqil bin Yasar .a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir) Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. Tidak salah untuk bercinta, tetapi pandailah kita menjaga batas-batasnya, kerana cinta kita ketika itu belum tentu membawa ke jinjang pelamin, jadi jagalah maruah dan kesucian diri, jangan cepat menyerahkan maruah dan kesucian kepada yang tidak layak memilikinya. Fikir-fikirkanlah..

HIDUP INI IBARAT MENITI DIATAS JAMBATAN KECIL

Hidup ini ibarat meniti di atas jambatan kecil, mencari jalan benar, jika kita tersalah langkah, jatuhlah kita tidak sampai ke penghujung yang akan kita nikmat,  itulah boleh dikatakan. Jika kita meniti di atasnya perlulah berhati-hati dan penuh dengan kebijaksanaan serta ilmu. barulah kita sampai ke destinasi. Samalah dengan hidup ini, sepanjang kita melewati kehidupan di dunia ini, janganlah kita terlalu leka mengejar duniawi, sedangkan yang wajib ke atas kita sebagai seorang hamba-Nya di muka bumi ini di ambil mudah malah ada yang tidak menuruti perintah-Nya sebagai hamba di muka bumi ini. Saban hari dan saban waktu kita sering di kejutkan dengan pelbagai berita-berita yang tidak senang untuk kita dengari seperti bunuh, rogol, merompak dan lain-lain.Yang melakukannya ini seperti tidak beperikemanusiaan. Apakah mereka yang tergamak melakukan semua ini adalah kerana sepanjang kehidupan mereka telah terjatuh ke lembah kebinasaan seperti itu dalam penitian jambatan hidupnya? Manakan tidaknya, kalau diri dah dikuasai nafsu bukan akal lagi, itulah yang terjadi. Harus diingati, walaupun kita meniti hidup di dunia ini, dan hampir terjatuh dan terjatuh, kita masih diberi peluang oleh Allah untuk menginsafi dan mencari jalan yang benar sebelum kita di jemput Ilahi kerana pintu taubat sentiasa untuk orang-orang mukmin yang menyesali atas perbuatan tidak baik dirinya sepanjang di dunia kerana Allah Maha Mengampuni. WaAllah WaAlam.. Sekian.

Khamis, 14 April 2011

ADIL DALAM BERMADU?-SIAPA BENAR SIAPA SALAH

Jika diperhatikan dan dibaca pada dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini, banyak berita-berita mengenai  isteri hidup bermadu dan dibiarkan terabai menanggung penderitaan dan megalami tekanan perasaan, sehinggakan ada di antara wanita-wanita yang hidup bermadu ini sanggup menganiaya madu mereka sendiri seperti sanggup untuk meragut nyawa madu mereka kerana terlalu cemburu. Malah bertindak luar logik akal fikiran sehingga ada yang sanggup memotong kemaluan suaminya.
Adakah sifat cemburu buta wanita? atau Ketidakadilan suami kepada isteri-isteri yang dimadukan mereka? 
Kita ketahui, lelaki telah diberi keistemewaan dalam Islam dimana seorang lelaki itu boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang, jika dirinya mampu berlaku adil. Perkara ini jelas dalam Al-Quran seperti berikut: "Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu kahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah al-Nisa' ayat 3).
Disini Islam tidak melarang seseorang lelaki itu mengahwini wanita itu lebih daripada seorang tetapi hendaklah berlaku mereka berlaku adil antara isteri-isteri yang dikahwininya. Namun, ada segelintir lelaki sekarang ini berkahwin lebih daripada seorang isteri sebagai tren hidup, malah ada juga yang memadukan isterinya kerana wanita yang mereka cintainya ketika waktu dalam percintaan kembali menagih kasih kembali kepada lelaki sedangkan diri mereka tidak mampu untuk berlaku adil.
Adil yang dimaksudkan adalah adil dari segi zahir dan batin. Janganlah hanya memberikan sesuatu itu kepada sebelah isteri yang mereka lebih sayangi sahaja. Contohnya, isteri muda/kedua mendapat rantai emas daripada suami kerana terlalu sayangkan isteri muda, namun isteri tua/pertama tidak mendapat hadiah sama seperti isteri muda, sehingga menimbulkan rasa iri hati dan cemburu si isteri tua terhadap madunya kerana suaminya lebih meyayangi dan berlaku tidak adil. Apa salahnya kalau suami itu memberi hadiah yang sama kepada isteri tua supaya berlaku adil dan tidak menimbulkan rasa iri hati dan cemburu dalam hidup bermadu.
 Disebabkan itulah, sering kita dengar dan lihat, isu ini semakin hangat sejak kebelakangan ini sehingga sanggup menetak dan menganiaya madu sendiri kerana sifat cemburu.
Ingatlah kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada seorang, adakah anda mampu berlaku adil kepada isteri-isteri anda? Tepuk dada tanyalah Iman. Sekian.
 wa allah wa alam..
 

Selasa, 12 April 2011

PEMERGIAN ORANG YANG DISAYANGI

Assalamualaikum w.b.t. dengan izin Allah s.w.t saya menulis di sini. Pemergian Orang Yang Disayangi adalah tajuk yang berkisah mengenai diri saya. Kisah ini telah berlaku pada tanggal 12 Julai 2010. Pada hari isnin bertarikh seperti berikut pada jam lebih kurang 4.30 petang di Hospital USM, Kubang Kerian adalah sesuatu pengalaman yang paling sedih dan sukar untuk saya tempuhi termasuk juga ahli keluarga saya yang lain. Pada tarikh, waktu dan tempat itu tiada seorang pun yang dapat menghalang, mengubah atau melewatkan walaupun untuk sesaat bahkan untuk seminit. Dengan tercatatnya sejak azali lagi umat-Nya iaitu tiga perkara oleh Allah swt iaitu rezeki, jodoh dan ajal maut . Ditakdirkan oleh Ilahi orang yang saya sayangi terlebih dahulu dijemput oleh-Nya. Sesuatu yang sangat sukar untuk saya terima hakikat tersebut. Ketika orang yang saya sayangi itu menghembuskan nafas terakhirnya saya tidak berada di sisinya kerana saya telah pulang terlalu awal untuk meneruskan pengajian saya di sebuah IPTA. Sesalan itu sehingga ke hari ini saya rasai. Bagi saya kehilangan orang yang saya sayangi adalah kehilangan yang sangat besar ibarat pecahnya sebuah kasih sayang orang yang saya sayangi dalam diri saya. Ketika saat saya masih buntukan kasih sayang orang yang saya sayangi ini ketika itu jualah Allah s.w.t menjemput untuk mengadap-Nya. Walaupun sedalam mana kasih sayang saya terhadapnya namun Allah s.w.t itu lebih menyayangi lagi daripada saya dan ahli keluarga saya. Pemergian orang yang disayangi iaitu Ibu saya telah mengosongkan ruang-ruang kegembiraan dalam hidup saya. Ketika saya sampai ke rumah apabila dikhabarkan berita yang menyedihkan itu, telah terkujurnya jasab yang dibaluti dengan selimut putih. Ketika itu, sesuatu kata tidak terkeluar dari mulut saya, hanya tangisan air mata yang laju mengalir membasahi pipi. Disaat itu, saya seperti hilang keupayaan untuk berdiri lagi. Kenapa Ibu pergi terlalu awal, sedangkan saya belum sempat membuktikan kejayaan saya kepada Ibu. Saya belum sempat berbakti kepada Ibu. Saya masih dahagakan kasih sayang Ibu. Perkataan itu sering bermain di minda saya sejak kematiaan Ibu. Gurauan, belaian, perbualan dan kenangan manis saya bersama Ibu kini hanya tinggal kenangan. Ketika saya kesunyian, sering kali teringatkan kenangan manis dengan Ibu. Begitu bermaknanya kisah saat-saat manis bersama Ibu ketika Ibu masih ada. Ketika saya terkenangkan kisah itu, air mata sering kali membasahi pipi, ketika itu jugalah saya berasa seperti hilang semangat dalam diri. Namun, saya gagahinya dengan kata-kata terakhir Ibu kepada saya "belajar rajin-rajin" itulah perkataan terakhir Ibu kepada saya. Ibu, setiap kali anakmu terkenangkan Ibu setiap kali itu jugalah anakmu sedekahkan Al-Fatihah buat Ibu agar roh Ibu sentiasa tenang, dilapangkan dan disinari Nur Firdausi. Di sini, saya menyarankan kepada diri saya dan yang lain supaya menghargailah orang-orang tua anda ketika mereka masih diberi peluang oleh Allah s.w.t bersama-sama dengan kita. Walaupun pemergian Ibu terlalu awal tidak sempat saya membuktikan kejayaan dan membalas kasih sayang yang Ibu berikan, namun saya masih mempunyai Ayah, alhamdulillah, Ayah masih lagi sihat, dengan peluang yang ada ini, saya korbankan dan mempergunakan masa-masa yang masih ada untuk berbakti dan merasai kasih sayang orang tua. Hargailah orang tua anda.
Al-Fatihah buat roh Robiah Binti Wan Minah, semoga roh-Nya dicucuri rahmat, Amin..