Tak Nak Klik Di Bawah Ni Ke?

Selasa, 21 Jun 2011

MUNGKIN YANG TERAKHIR

Pancaran matahari kelihatan suram petang itu, semakin lama dipandang semakin ia ingin melabuhkan tirai hari tersebut.Bayang-bayang kegelapan sudah mula kelihatan.Burung-burung kelihatan berterbangan rendah ke arah kebun getah ingin mencari tempat untuk berlindung dan tidur.Suara burung-burung yang berkicauan di atas pepohon getah itu bagaikan memberitahu sesuatu kerana keadaan kebun itu kelihatan bersemak bagaikan menyimpan sejuta rahsia di dalamnya.Sejenak itu, aku mengelamun di satu penjuru kerusi batu yang terletak di bawah redupnya pohon mangga.
Emm... dah nak masuk semester ketiga dah aku di UPM. Tinggal beberapa hari sahaja lagi aku akan menghabiskan sisa cutiku di rumah, terasa berat sahaja kakiku ini untuk meninggalkan keluarga aku dan rumah ini serta keindahan pemandangan yang mungkin tidak seindah di tempat aku menimba ilmu kerana di UPM keindahan hanya dengan buku-buku yang tebal dan dihasilkan oleh ramai pengarang yang akan aku hadapnya tiap-tiap waktu yang terluang tidak seperti aku berada di rumah kerana aku lebih suka bersendirian dan melihat keindahan ciptaan Ilahi. Itulah yang terlintas dalam pemikiranku ketika aku duduk bersendirian di halaman rumah petang itu.Entah kenapa perasaan aku ketika itu,terasa berat untuk kembali ke UPM seperti ada sesuatu perasaan yang tidak aku ketahui sendiri yang merantai hatiku dan mencucuk pemikiranku sedemikian.
Tiba-tiba suara ibuku telah menyedarkan aku dalam lamunan itu.
“Man..Man.” itulah panggilan manja ibuku kepada aku.
“Manduduk buat apadekat luar ni? Dah nak maghrib dah ini, pergi mandi. Kejap lagi Ayah Man balik, nantikan dimarah pula dekat Man.” Aku memandang kearah ibuku,dia berdiri betul-betul di muka pintu luar rumah. Wajah ibu kelihatanmasih seperti umur 40-an sedangkan umur ibu sudah mencecah 55 tahun kerana ibu tidak bekerja berat dan hanya sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. Di sebalik wajah ibu yang kelihatan muda itu, namun pelbagai penyakit yang berselindung di sebalik raut wajahnya.
“Oh Mak, saja Mak, tengok kenderaan lalu-lalang.Ramai betul orang memiliki kereta sekarangkan Mak?Tengok Pak Ali tu, siap pakai kereta BNW lagi.”Itulah alasan aku berikan bagi mengelak daripada ibu perasaan yang aku sedang mengelamun menghitung saki baki cuti semester aku ini.
Ibu berjalan dari muka pintu menuju ke tempat aku duduk tadi, lalu ibu duduk sama di atas kerusi batu yang tidak berapa jauh dengan muka pintu rumah. “Ya la! Sekarang semua orang pandai-pandai dan kaya-raya, macam Pak Ali tu, dulu dia kontrak kecil-kecil saja, sekarang dah maju, siap mendapat kepercayaan daripada kerajaan lagi diberikan kontrak untuk membina bangunan asrama sekolah, tentulah boleh memiliki kereta BNW. Kata ibu kepada aku.aku hanya berdiam seketika, kemudian ibu meneruskan lagi kata-katanya.
“Em.., tak lama lagi,anak Mak ni pun boleh pakai kereta juga bila dah dapat kerja nanti.Entah-entah siap boleh beli kereta mewah lebih daripada Pak Ali lagi.”Gurau ibu kepada aku.
Guruan itu membuatkan aku tersenyum panjang dan hilang beban yang mencucuk fikiran dalam lamunan ku tadi danaku menjawab, “Bila Man beli kereta nanti, Mak dan Ayahlah orang yang mula-mula Man akan bawa pusing Bandar Kota Bharu dan bersiar-siar dengan kereta Man nanti. Itu janji Man.”
“Bagusnya anak Mak ni.Ayah Man mesti suka dengar Man cakap macam tu, Mak mungkin tak sempat dah nak lihat Man pakai kereta nanti”.Ibu berkata kepadaku.Kata-kata ibu itu bagaikan menyentap perasaan Aku.
Tiba-tiba, terdetik dihati aku, “kenapa ibu berkata demikian itu?”Terus aku bertanya, “Kenapa Mak cakap macam tu?”“Tak adalah Man, Mak bergurau dengan Man tadi”.Ibuku berkata.
“Tapi aku melihat muka ibuku serius, tapi kenapa ibu boleh katakan ibu bergurau pula?”.Menyoal hatiku kepada diriku sendiri.
Tiba-tiba hatiku diketuk satu perasaan sedih dan tindakan untuk memeluk ibuku disebabkan kata-kata itu, terus aku memeluknya, tidak pernah aku lakukan sebelum ini dan rasai satu perasaan yang sedemikian kerana ibu tidak pernah mengeluarkan kata-kata seperti itu sebelum ini.Ibuku kehairanan melihat perangaiku, dan terus berkata.
 “Kenapa dengan Man ni?”.Aku tidak terus menjawab persoalan itu, malah pelukan aku kepada ibu semakin erat seperti orang yang ditinggalkan berpuluh-puluh tahun lamanya yang kehilangan dan dahagakan kasih sayang seorang ibu.Ibuku bertanya lagi soalan yang sama itu. Aku  menjawab dengan suara yang sahdu dan air mata sedikit bergenang di kelopak mataku.
“Entahlah Mak, tiba-tiba saja Man terasa nak peluk Mak, Kan Man tak lama lagi dah nak balik ke UPM”. Itulah jawapanku berikan.
“Oh!!! Man ni, terkejut Mak”.Sambil membalas balik pelukan aku itu.“Tak apa Man, peluklah.Nanti kerinduaan dan pelukan Mak mungkin yang terakhir dan tak dapat lagibila dah balik UPM tu”.Ibu seperti mengerti sahaja perasaan aku ketika itu.
“Dahlah, pergi mandi Man, dah nakmaghrib dah ni. Lepas mandi, solat ya!!!, tegas ibuku, “Nanti kita makan bersama ayah nanti. Emm..,Man nak makan apa malam ini?Mak masakkan”.
“Man nak makan gulai asam pedas sebab masakan Mak tu memang best sangat”.Memang itulah kegemaranku. “Ok! Nanti Mak masakkan. Lepas solat maghrib kita makan bersama dengan Ayah sekali”.
“Ok! Mak, terima kasih, sayang Mak”. aku dan ibu bangun dari kerusi batu itu dan berjalan serentak bersama masuk dalam perut rumah, aku menolong ibu menutupkan jendela-jendela yang masih terbuka di ruang tamu dan kelihatan sudah tiada lagi pancaran matahari dan lampu-lampu jalan sudah kelihatan menerangi jalan-jalan yang masih berkejaran beberapa buah kereta untuk sampai ke destinasi masing-masing kerana kelihatan jam di dinding menunjukkan sudah pukul 7.30 malam. Setelah semua jendela ditutup rapat dan berkunci, ibu terus masuk ke biliknya dan aku pula menuju ke bilik dan mencapai tuala yang bersidai di tali dalam bilikku dan terus ke bilik air.
Selesai saja akumandi, aku melentangkan sejadah.aku bersolat magrib dan disertakan wirit dan doa selepas solat.Tidak sampai di situ saja, aku terpanggil untuk melakukan solat sunat hajat dan bacaan surah Yassin.Setelah selesai aku membaca Yassin, Aku berdoa.Dalam doaku, aku sering memohon, “Ya Allah, Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, hamba memohon kepada-Mu, bukakanlah pintu hati hamba dan murahkanlah rezeki hamba serta ibu bapa hamba, Ya Allah, ampunilah dosa ibu bapa hamba, sesungguh-Nya kaulah yang Maha Mengampuni, panjangkanlah umur ibu bapa hamba supaya mereka dapat berbuat amal kebaikan di dunia ini terhadap-Mu Ya Allah serta berkati dan rahmatilah kehidupan kedua-dua ibu bapa hamba dan juga diri hamba”.Ketika aku berdoa itu, tanpa disedari tiba-tiba air mataku membasahi kedua-dua belah pipi, lantas aku meyapu air mata aku dengan kedua-dua belah tapak tanganku.
Setelah selesai saja aku solatmaghrib aku terus ke dapur. aku dapati ibu telah siap masak makanan kegemaranku itu. Aku duduk bersama ayah dan ibu.Entah bila ayah pulang dari kerja. Kebiasaannya, bila ayah pulang daripada kerja akan kedengaran deruman enjin motor yang selalu digunakan oleh ayah untuk keluar mencari rezeki.
Lalu aku bertanya kepada ayah untuk mendapatkan kepastian, “Bila Ayah pulang? Biasanya ekzos motor Ayah kedengaran bila Ayah pulang, ni tak dengar pun?” Lalu ayah menjawab pertanyaanku tadi, “Macam mana Man nak dengar, Ayah balik tumpang kawan Ayah tadi, motor Ayah rosak masa sampai traffic light depan sekolah Perol tadi, kemudian Ayah hantar dekat bengkel motorsikal Pak Daud tu, nasib baik dia tak tutup lagi kedai, dia yang tolong hantar Ayah balik tadi”.
Lalu aku berkata, “Oh patutlah Ayah balik lewat tadi, kenapa tak telefon dekat Man? Man boleh pergi ambil Ayah tadi”.
 Telefon Ayah habis bateri, semalam Ayah lupa nak cas, tu yang tak telefon dekat Man tu, tapi tak apa! Pak Daud dah tolong hantarkan Ayah balik dah, kan dah sampai ke rumah dah ni”. Ayah menegaskan sedemikian. “Marilah makan, nantikan sejuk pula lauk kat atas meja tu nanti”.Jemput ibuku yang sedang menghidangkan nasi ke dalam pinggan.
Kami makan begitu berselera sungguh malam itu,sambil makan,kami sempat berborak dan bergurau senda.Ibu menceritakan kepada ayahku mengenai kata-kataku tadi.“Anak kita bila dah beli kereta nanti, dia cakap, kita orang pertama yang dia bawa nanti”.Kata ibuku kepada ayah.“Wah!!! Anak Ayah ni, bertuah Ayah dan Mak dapat anak macam Man, baguslah Man, nanti belajar rajin-rajin”. Kata ayah kepada aku.Kata-kata itu seperti membakar semangat aku.Setelah selesai makan, aku dan ayah pergi bersolat isya’ di surau.
Lewat malam tiba, akududuklalu membaringkan tubuh di atas katilku. Tiba-tiba,aku terlintas dalam kepalaku kata-kata ibu tadi “...nanti kerinduaan dan pelukan Mak tak dapat lagi...” tapi aku kehairanan,mengapa ibuku berkata seperti itu.Tidak pernah terkeluar dari mulut ibu sebelum ini, seperti ada sesuatu yang tak kena.aku terus berfikir, tapi jawapan itu tidak juga keluar sehinggalah aku tertidur.
“Ah!!! Mengantuknya”. Aku memandang jam yang terletak diatas meja. Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi, aku terus mencapai tuala mandi dan masuk ke bilik air. Sesudah aku mandi, aku solat subuh dahulu, kemudian keluar dari bilik.aku dapati tak ada seorang pun dekat ruang tamu. Mungkin ibuku berada kat dapur.Ayahku pula macam biasalah, pagi-pagi keluar mencari rezeki.
Aku merebahkan diriku diatas kerusi yang berada di ruang tamu.Sambil membuka televisyen.Disebabkan terlalu mengantuk, aku tertidur balik, lebih kurang 15 minit, aku terdengar suara ibuku.Dia meminta supaya menutup pintu utama rumah yang terbuka luas.Memang menjadi kebiasaan, apabila ayahku keluar pagi dari rumah, pintu sentiasa tidak di tutupinya.
Ibu berkata, “Man tutup pintu rumah, Mak sejuk ini,Mak terasa seperti tak boleh bernafas”.tapi disebabkan mataku berat nak membukanya.
Aku hanya menjawab, “Kejap lagi Man tutuplah pintu tu”.Kemudian, aku tertidur balik. Jam menunjukkan pukul 10 pagi. Apabila aku terjaga, aku teringat kembali ibuku menyuruhku menutupkan pintu, tapi bila aku lihat ke arah pintu, rupa-rupanya dah tertutup. “Siapa yang tutup pintu itu?”.Persoalan itu timbul, aku seperti bersalah sebab tak melakukannya.Terus aku bangun mencari ibuku.Aku lihat ibu tertidur diruang tamu, aku melihat muka ibuku kelihatan pucat saja.Aku terus kejutkan ibuku.
Aku lihat ibuku seperti sesak nafas saja, terus aku bertanya. “Kenapa ni Mak?”.Ibuku seperti tidak dapat menjawab dengan sempurna seperti nafasnya tersekat-sekat. Aku risau dan panik  melihat keadaan ibuku itu. Tiba-tiba aku ternampak ayahku, tiba-tiba muncul, sedangkan kebiasaanya ayah berkerja, aku tidak berfikir panjang, Aku terus memanggil ayahku. “Ayah...Ayah...Mak, Ayah..Mak...” Ayahku seperti kehairanan melihatku. “Kenapa dengan Mak Man?”. Ayah bertanya.
“Mak..Mak...Mak, Macam...Macam sesak nafas. Tak..Tak tahu kenapa”.Aku menjawab persoalan itu dengan gagap sebab aku begitu panik. Ayah terus mendapatkan ibu yang berada di atas kerusi ruang tamu.
“Cepat Man, cepat! Cepat telefon ambulans, penyakit Mak Manmenyerang balikni”. Aku cemas mendengar kata-kata ayah itu. Terus Aku menelefon klinik yang berdekatandan memaklumkan apa yang berlaku. Lebih kurang 15 minit, sebuah ambulans datang dan membawa ke hospital. Ibuku dikejarkan ke wad kecemasan.
Aku mula berfikir yang bukan-bukan.“Mungkinkah silap aku tadi yang tidak bangun tutupkan pintu?Sampaikan ibu jadi seperti ini. Derhakakah diriku kerana aku tidak melakukan apa yang ibuku pohon tadi? Adakah aku tidak sempat melihat wajah ibuku lagi?”.Tiba-tiba,aku terdengar suara ayah dengan doktor berbicara sesuatu, menyebabkan aku tersedar dari pemikiran seperti itu.
“Pak cik tak perlu risau, isteri pak cik sesak nafas saja, kemungkinan jantungnya lemah atau lain-lain sebab tapi dia perlutinggal  beberapa hari di sini untuk rawat susulan”.
Aku seperti kaku mendengar apa yang dikatakan doktor itu. Aku terus mendapatkan ibuku yang berada di wad kecemasan.Aku melihat ibu terbaring diatas katil dengan dimasukkan alat bantuan pernafasan dihidungnya.Aku terus mendekati ibuku.
Tiba-tiba satu suara terdengar. “Man! Man jangan risau..Mak tak apa-apa”. Itulah perkataan yang keluar dari mulut ibuku..rupa-rupanya ibu sedar aku berada disisinya. Ayahku masuk melihat keadaan ibu.
Selepas 3 hari ibu berada di hospital, keadaan ibu berubah sedikit.Nampak dah semakin sembuh dan ada peluang untuk balik ke rumah seperti biasa.Tapi alat bantuan pernafasan masih diguna, akulah yang menemani ibu pada sebelah pagi dan petang, kemudian ayahku menemani disebelah malam.Ramai saudara-mara ibu dan ayahku datang melawat.Aku senang melihat ibu bercakap dan melayani saudara-maranya dengan ramah.
Disatu sudut, atas kerusi, aku tiba-tiba terfikir, “tinggal dua hari sahaja lagi cutiku sebelum masuk balik ke UPM.Bagaimana aku nak meninggalkan ibuku yang sedang berada di hospital ini, berat sungguh hatiku apabila memikirkan persoalan itu”.Tiba-tiba satu suara kedengaran bertanya aku.
“Aman bila nak pergi UPM balik?”Rupa-rupanya pertanyaan itu adalah ibu saudaraku sendiri.Aku seperti tergagap-gagap untuk menjawabnya.“Aman tak tahu lagi, mungkin pergi lepas Makkeluar dari hospital dulu”.
 “Man tak payah risaukan Mak, Man mesti balik ke UPM, Mak dah hampir sembuh dah, isnin ni Mak nak balik rumah dah, Mak tak nak tinggal lama-lama kat sini” jawab ibuku. Aku hanya terdiam saja.
Masa yang aku minta supaya dilambatkan, akhirnya muncul juga.Aku terpaksa pulang ke UPM untuk meneruskan pengajian dengan terasa berat hatinya untuk meninggalkan ibuku kerana ibuku masih lagi berada di hospital.Semua barang telah dimasukkan ke dalam kereta, sebelum ke stesen bas, aku meminta supaya ayah membawaku berjumpa dengan ibu dahulu. Ayah membawa keretanya ke hospital mengikut seperti apa yang diminta olehku.
Setelah sampai di hospital, aku melihat ibu masih tidur diatas katil wad pesakit.
“Assalamualaikum Mak...Mak macam mana?Doktor ada cakap apa-apa ke?”
“Walaikumussalam. Oh anak Mak rupanya.Mak dah ok sikit, doktor belum masuk lagi, inikan baru pukul 8. Man dah makan ke?” tanya ibuku.
“Belum lagi, Man tak ada selera nak makan” jawabku.
“Man jangan begitu, nanti sakit pula” tegur ibuku.
Aku mendekatkan diriku dengan ibu sedikit dan berkata. “Man dah nak pergi dah, Man minta maaf kalau ada salah dan silap Man terhadap Mak”.Aku meminta maaf dari ibuku.
“Tak ada buat salah apa-apa pun. Janganlah Man menangis, nanti Mak pun sedih juga”.Tegur ibuku, tanpaku sedari, rupa-rupanya air mataku telah mengalir keluar.Jika ibu tidak tegur tadi, tentu aku tidak perasan bahawa aku telah menangis.
Ayah kelihat baru naik dan mendekati katil tempat ibuku. “Mungkin Ayah baru naik sebab baru dapat parkin kereta kot”. Itu yang terlintas di dalam fikiranku.
“Man, dah lewat dah ni, nanti tertinggal bas pula”. Aku baru tersedar, jam menunjukkan pukul 9 pagi, bas aku naik pukul 10 pagi.Aku pun mengambil peluang akhir sebelum pulang ke UPM.Sekali lagi aku memohon maaf sebelum aku pergi ke stesen bas.Sempat aku mencium tangan ibuku dan memeluknya.
Lama juga aku memeluk ibuku, akhirnya aku melepaskan pelukan itu, ibu berkata, “Man belajar rajin-rajin, Makdan Ayah mengharapkan kejayaan Man tau”.
Aku berpegang pada kata-kata ibuku itu, kata-kata ibuku itu seperti kata-kata semangat bagi diriku.Berat hati aku untuk meninggalkan ibu yang sekarang berada di hospital, tapi aku sebagai seorang anak dan pelajar telah menjadi tanggungjawabku untuk pulang ke UPM kerana aku adalah harapan ibu bapaku.
Akhirnya, aku sampai juga UPM bersama-sama kawanku bernama Adam walaupun berat hati aku meninggalkan ibu kerana terlalu penat, aku tertidur.Sampailah pagi esoknya, kelas bermula seperti biasa.Aku dan Adam masuk ke kelas dan belajar seperti biasa seperti harapan ibuku.Aku begitu bersemangat untuk belajar kerana kata-kata dari ibuku itu, kelas pada hari itu, agak padat sehingga aku terlupa untuk menelefon bertanya khabar ibuku.Tepat pukul 4.15 petang, ketika aku berada dalam bilik setelah habis dari kelas.Tiba-tiba aku mendapat panggilan daripada kakakku.Aku mengangkat panggilan itu, kedengaran suara kakak aku memberitahu ibuku sedang tenat.Aku mula cemas dan meletak telefon itu.Aku memberitahu kepada Adam bahawa ibuku sedang tenat dihospital.Aku meminta pertolongan daripadanya untuk menghantar aku ke lapangan terbang kerana aku mahu pulang ke kampung melihat ibuku.
Belum sempat aku membuka pintu keluar dari bilik, satu panggilan lagi aku terima daripada kakakku.Suara kakakku seperti orang menangis. Man..Mak..Man..Mak... Aku mula cemas, kenapa..kenapa..dengan Mak kak?? Aku menyoal.Tiba-tiba, suara ayahku kedengaran. Man..sabar ya, Mak dah tak ada dah, Mak tak ada masa nak masuk waktu asar kejap tadi. Aku terkedu dan terkaku dengan apa yang diberitahu ayahku itu.
Air mataku mengalir dengan laju membasahi pipiku.Aku terdiam dan membisu, hanya dapatku katakaninnanillah wainailahirojium, aku terasa seperti kehilangan yang begitu besar dalam hidupku.
Aku teringat kembali sewaktu aku dan ibu bercakap di luar rumah haritu.“ Mak mungkin tak sempat dah nak lihat Man pakai kereta nanti” dan “ Tak apa Man, peluklah, nanti kerinduan dan pelukan Mak mungkin yang terakhir dan tak dapat lagi bila Man balik UPM tu”.
Kata-kata itulah yang terlintas dalam fikiranku, rupa-rupanya kata-kata itu sesuatu yang benar-benar berlaku terhadap diriku, aku begitu menyesal disebabkan terlalu awal ke UPM, tanpa sempat melihat wajah terakhir ibuku menghembuskan nafasnya, sekarang aku betul-betul berdiri di hadapan tubuh ibuku yang terbujur kaku, aku seperti tidak dapat menerima kenyataan sebegini, sehingga aku tertanya-tanya, mengapa ALLAH mengujiku sebegini, sedangkan aku sangat memerlukan kasih sayang daripada seorang bernama ibu.
Semasa jasad ibu di kafankan, dan terakhir kali untuk saudara-saudara melihat jasad sebelum di solatkan ketika itulah perasaan aku tidak jadi tentu arah, saat itu, air mata aku mencurah-curah, tidak aku hiraukan lagi kepada saudara-saudaraku yang lain yang datang melawat ketika itu.
Mak! Jangan tinggalkan Man, Mak!
Jangan tinggalkan Man, Mak!
 Man merayu Mak, Man sayangkan Mak!
Aku seperti tidak mahu melepaskan jasad ibuku ketika itu.Apabila kali terakhir aku diberi peluang untuk mengucup wajah ibu.Dengan pelukan yang kuat atas jasad ibu, aku hampir menitiskan air mataku tapi sempat disapa oleh ayahku.
Man! Ibu kamu dah tak ada dah Man.
Janganlah begini, nanti roh ibumu akan terseksa dan sedih.
Ketika itu baru aku sedari, aku terpaksa menerima hakikat ini dan melepaskan jasad ibu untuk di sembahyangkan dan di kebumikan. Walaupun air mataku mencurah sebanyak mana pun ibu tak akan kembali lagi, dan ketika dan selepas saat itulah kenangan manis aku dibesarkan oleh ibu sering mengusik menusuk ke hatiku terutama ketika aku bersendirian dan malam hari. Air mata saat ini bagaikan peneman dan pengubat hatiku, setiap kali aku diusik kenangan itu.
 Ibu hanya AL-FATIHAH dan doa menjadi sedekah buatku kepada mu sebagai seorang anak kerana aku tahu, setelah meninggal-Nya seseorang hamba ALLAH itu, maka terputuslah segalaamalan di dunia, melainkan tiga perkara, sedekah jahriah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.Semoga roh ibu ditempatkan dalam golongan orang-orang yang soleh dan solehah. Amen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan