Tak Nak Klik Di Bawah Ni Ke?

Ahad, 12 Mei 2013

Kerinduan Bayangan Ibu

Sudah lama kaki aku tidak menjejak ke tanah perkuburan ibu. Jika di hitungkan hampir 2 bulan. Sibuk sangatkah aku sehingga tidak dapat menjenguk kubur arwah ibu? Persoalan itu bermain di benak fikiran aku tiap hari. Lantas, hari ini aku bertekad pagi-pagi lagi pergi menziarahi kubur arwah ibu. Walaupun perasaan takut nak pergi seorang diri sebab di momok dengan kisah misteri atau berhantu di perkuburan, namun aku tidak peduli semua itu lagi. Hari ini pagi-pagi lagi aku turun rumah nak ziarah kubur arwah ibu. Semasa sampai, memang tak rasa apa-apa. Aku pandang je dari jauh kubur arwah ibu. Semasa melangkah masuk ke tanah perkuburan, aku dah rasa dah, rasa apa? Bukan rasa takut, tapi rasa sebak. Maklumlah biasa aku ziarah kubur arwah ibu dengan ayah atau abang aku, bila pergi bersendirian, emosi menguasai diri. Hampir je di kubur arwah ibuku, aku duduk membuka dan membaca surah yasin. Mula-mula ok lagi, sampai je di pertengahan surah, perasan sedih dah tak dapat nak dikawal. Tanpa aku sedari, aku dah berteman. Berteman dengan apa? Bukan dengan kisah momok la, tapi bertemankan air mata. Terasa panas di pipi ia mengalir. Cepat-cepat aku sapu walaupun tak ada sesiapa pun. Ketika itu, macam-macam kisah suka duka, gelak ketawa dan sedih dengan arwah ibu dulu bermain-main di fikiran. Ibu sanggup bermandi peluh, berhujan panas, demi membesarkan aku, tapi aku tidak dapat membalas apa pun jasa kepadanya. Sudahlah menziarahi kubur kadang-kadang, sedangkan arwah ibu dulu, sanggup menemani aku dalam kesakitan, nak luangkan masa setengah jam pun tak boleh? Dahlah menziarahi kubur kadang-kadang sebab malas dan panas. Aku tak sedar, dulu arwah ibu sanggup berpanas mengerah kudrat tulang empat kerat ke sawah, walaupun sakit tapi arwah ibu masih gagahkan diri ke sawah membantu ayahku. Apa yang aku balas kepadanya semasa ibu masih ada dulu dan setelah ketiadaan ibu sekarang? Barulah aku sedar, tiada apa yang aku lakukan, walaupun ada, tidak cukup dan tidak mungkin dapat menandingi jasa dan pengorbanan arwah ibu selama ini. Sekarang baru aku rasa menyesal. Buat apa nak menyesal sekarang, kenapa tidak dari dulu?  Bertapa bodohnya aku rasa. Sekarang aku dah kehilangan kasih sayang, senyum, gelak ketawa dan lain-lain lagi dari seorang bergelar ibu. Kehilangan ini bukan sehari, seminggu, sebulan, setahun, tapi untuk selamanya dalam hidup aku. Sekarang hanya tinggal bayangan arwah ibu sahaja tanpa dapat ku sentuh, ku peluh, ku cium dan jauh sekali untuk aku memperoleh kasih sayang seorang ibu lagi. Ibu! Setelah pemergian mu, kehidupan anak mu ni, bahkan ayah dan anak-anak mu yang lain tidak sempurna, terutama ketika semua  berkumpul bersama-sama. Penyeri dalam hidup kami sudah tiada lagi.Walaupun ibu sudah tiada, tapi kami sentiasa mengingati arwah ibu. Semoga ibu ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan mendapat ganjaran syurga. Ins Sha Allah. Amin.

Pesanan: Buat kawan-kawan yang lain, hargai ibu anda ketika mereka masih ada, walaupun sehari atau seminggu anda tidak berjumpa, kerinduan kepada ibu mesti menghantui, namun dapat lagi melepaskannya bila anda berjumpa kembali. Tapi bagi aku, bukan sehari atau seminggu tapi kehilangan untuk selama-lamanya. Tidak dapat lagi melepaskan perasan kerinduan kepada seorang ibu itu lagi. Namun aku masih bersyukur, ayah masih ada dan inilah masanya aku memberi sepenuh dan sedaya upaya kudrat aku kepada ayah aku sendiri. Aku tak nak perasan kecewa sebab tidak memberi sepenuhnya pengorbanan kepada ibu dulu berulang kembali kepada ayah aku. Ayah! anak mu sayangkan ayah.